Wednesday, July 11, 2012

Anak Adalah Amanah ALLAH..




Sebuah kisah untuk renungan kita bersama..

Sewaktu berada di dalam kereta ketika menuju ke bandar, Dira yang sedang duduk di kerusi penumpang belakang tiba-tiba berdiri lalu menghulurkan kepala dari celahan tempat duduk pemandu dan penumpang di hadapan lantas mencium pipi ayahnya yang sedang memandu. Kelakuannya memang boleh mengundang bahaya tetapi ternyata perasaan sayang anak kecil berusia 3 tahun itu terhadap ayahnya mengatasi segala-galanya. Ayahnya tersenyum sambil mengusap kepala anak kesayangannya itu. Dira turut tersenyum melihat senyuman ayahnya. Mama Dira turut tersenyum melihat perlakuan anak dan suaminya itu. Alhamdulillah, ALLAH mengurniakan kebahagiaan di dalam keluarga mereka. Namun situasi itu turut disaksikan oleh sepasang mata milik seorang anak kecil berusia 4 tahun yang turut berada di dalam kereta itu. Aina memandang tanpa sebarang reaksi. Matanya terkebil-kebil melihat kemesraan keluarga itu. Secara tiba-tiba Aina bersuara,”Papa Aina garang.” Semua yang berada di dalam kereta terdiam mendengarkan kata-kata anak kecil itu. Kata-kata itu adalah luahan spontan yang lahir dari hati anak kecil yang suci. Entah apa yang berlegar dimindanya ketika meluahkan kata-kata itu, tiada siapa yang tau. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan sebagai balasan kepada luahan anak kecil itu memandangkan Aina memang tiada pertalian darah dengan keluarga Dira dan mereka tidak tahu bagaimana hubungan kekeluargaan keluarga Aina. Kebetulan Aina hanya mengikuti ibu saudaranya yang berkahwin dengan bapa saudara Dira pulang ke kampung suaminya. Kanak-kanak pula memang cepat serasinya. Apabila ayah Dira ingin keluar ke bandar, dibawanya sekali Aina yang dipanggil kakak oleh Dira kerana kanak-kanak itu ingin mengikut ketika dipelawa.

Menyingkap sejarah anak itu, Aina merupakan anak ke-3 daripada 4 beradik. Kakak sulongnya berusia 9 tahun, abangnya 7 tahun dan adiknya 2 tahun. Semenjak berusia 3 bulan lagi Aina telah di jaga oleh ibu saudaranya yang merupakan adik kepada ibu kandungnya. Ini disebabkan ibu Aina telah mengandung lagi selepas 3 bulan Aina dilahirkan dan kebetulan sepanjang mengandung, ibu Aina mengalami masalah kesihatan. Semenjak itu, ibu saudara Aina mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab membesarkan Aina. Kini setelah Aina berusia 4 tahun dan ibu saudaranya telah berkahwin dan mempunyai anak sendiri, tanggungjawab itu masih digalas oleh ibu saudaranya yang dipanggil ibu. Aina pula tidak betah tinggal bersama ibu kandungnya yang dipanggil mama. Paling lama dia hanya dapat bertahan selama seminggu jika tinggal bersama mamanya. Selepas itu dia akan diminta untuk di hantar ke rumah neneknya dan jika ibunya kebetulan ada di rumah neneknya, dia akan mengikuti ibunya pulang ke rumah. Tinggal bersama ibunya tanpa had waktu. Tanpa ada gesaan dari mamanya sendiri supaya pulang dan tinggal bersamanya. Seolah-olah anak kandungnya itu telah diiktiraf sebagai anak adiknya. Langsung tidak mengambil peduli tentang anaknya itu. Kebajikan Aina juga tidak diambil tahu. Semuanya diserahkan bulat-bulat kepada adiknya. Alasannya pendapatannya tidak menentu. Seringkali juga dia meminta bantuan kewangan daripada ibunya yang mempunyai perniagaan kecil-kecilan sendiri. Walaupun sering kesempitan wang, dia tetap membelikan barangan keperluan anak-anaknya daripada barangan yang berjenama walaupun harganya mahal dengan alasan anak-anaknya tidak boleh menggunakan barangan yang murah. Mujurlah suami adiknya itu dapat menerima Aina. Jika tidak, tidak tahulah apa yang akan terjadi dengan kehidupan Aina. Aina juga tidak rapat dengan papanya kerana papanya tidak pernah mengambil berat akan dirinya malahan Aina lebih rapat dengan suami ibu saudaranya yang dipanggil ayah. Papanya hanya bersikap acuh tidak acuh setiap kali Aina cuba bermesra dengannya. Seolah-olah tidak suka dengan kehadiran anaknya itu. Namun sikap lepas tangan mama Aina itu sedikit sebanyak mengundang kesalan di hati adiknya. Bukan kesal kerana terpaksa menjaga Aina, tetapi kesal kerana seolah-olah kakaknya itu melebihkan anak-anaknya yang lain berbanding Aina dan sering melibatkan ibu mereka dalam permasalahan rumahtangganya. Tambahan pula kini dia juga telah mempunyai keluarga sendiri dan anak sendiri. Sudah pasti tumpuan tidak dapat diberikan sepenuhnya kepada Aina seperti dahulu memandangkan anaknya masih bayi dan memerlukan lebih perhatian darinya. Aina pula kadangkala kelihatan berjauh hati apabila melihat ibunya memberikan lebih perhatian kepada sepupunya yang masih bayi itu. Semenjak sepupunya lahir, Aina tidak pernah didukung oleh ibunya lagi. Seringkali dia menyuruh ibunya supaya tidak mendukung sepupunya kerana menyangka sepupunya sudah boleh berjalan sendiri kerana dilihatnya sepupunya itu boleh berjalan menggunakan ‘walker’ walhal sepupunya itu baru berusia 6 bulan dan ‘walker’ itu hanyalah bantuan sahaja. Kadangkala apabila pulang ke rumah neneknya dia akan mengadu kepada neneknya bahawa ibunya sering memarahinya selepas kelahiran sepupunya walhal itu memang karakter ibunya yang suka menegur dengan tegas jika dia melakukan sesuatu yang salah. Bukan hanya Aina seorang malah adik beradiknya juga akan ditegur oleh ibunya itu jika melakukan kesalahan. Tetapi perasaan seorang anak kecil yang kekurangan kasih sayang dan menumpang kasih sayang dengan orang lain, dia merasa tergugat apabila orang yang menumpahkan kasih sayang kepadanya telah mempunyai anak sendiri dan tumpuan tidak lagi sepenuhnya terhadap dirinya seorang. Sudahlah mamanya sendiri tidak mengambil peduli, kini ibunya juga sudah tidak menghiraukannya.. Mungkin itulah yang bermain di fikiran Aina.

Berbalik kepada kisah di dalam kereta, sesekali Aina turut berdiri di belakang sepertimana Dira yang berdiri di antara tempat duduk penumpang hadapan dan pemandu. Memandangkan Dira telah berdiri di tengah, Aina terpaksa berdiri di tepi sebelah kanan di belakang pemandu. Lagaknya dari pandangan Dira seolah-olah sedang memegang ayah kesayangannya. Dira yang sangat rapat dengan ayahnya dikunjungi perasaan cemburu. Lantas mengeluarkan kata-kata terhadap Aina,”Ini ayah Dira!” Alahai, apalah yang difahami oleh seorang anak kecil berusia 3 tahun ini. Padanya ayahnya adalah miliknya seorang. Orang lain tidak boleh menyentuhnya melainkan dia seorang. Aina hanya terkebil-kebil mendengar kata-kata Dira.

Mereka pulang dari bandar ketika siang telah berganjak ke petang. Dan seperti kebiasaannya, di waktu itulah mama Dira akan menyuapkan Dira makan. Kebetulan Aina turut berada di situ kerana kedua-dua anak kecil itu sedang bermain bersama-sama. Mama Dira memanggil anaknya untuk disuapkan makanan. Aina hanya memandang. Melihat pandangan Aina, mama Dira bertanya jika dia juga ingin makan. Aina mengangguk lalu mama Dira menyuapkan makanan kepada Aina pula. Sekali lagi Dira dikunjungi perasaan cemburu kerana pada pandangannya Aina ingin mengambil mamanya pula. Seboleh-bolehnya dia cuba menghabiskan makanan di dalam mulutnya secepat yang mungkin agar Aina tidak berkesempatan disuap oleh mamanya lagi. Mama Dira memahami perasaan anaknya namun tidak menuruti permintaan anaknya yang meminta makanan itu disuapkan kepadanya sahaja kerana makanan di dalam mulutnya sudah habis. Mama Dira menyuap Dira dan Aina secara bergilir-gilir untuk berlaku adil sambil mengatakan kedua-duanya adalah anaknya dan dia akan menyuapkan kedua-duanya. ALLAH, betapa kanak-kanak inginkan perhatian dan kasih sayang. Seandainya perhatian dan kasih sayang itu tidak diperolehi dari ibu dan bapanya,siapa pula yang akan memberikannya?

Di waktu malam pula, semua ahli keluarga berkumpul di meja makan. Sesekali pulang ke kampung memang seronok dapat makan bersama-sama keluarga. Kebetulan pada malam itu terdapat pasar malam di kampung, ayah Dira membelanja semua ahli keluarga makanan yang disukai. Ibu Aina turut berada di situ, sedang menuangkan soto ke dalam mangkuk. Aina yang menyukai nasi impit terus menerpa ke arah ibunya. Dira juga menurut mamanya adalah penggemar soto. Maka kedua-duanya berebut meminta soto dari ibu saudara Aina yang juga merupakan ibu saudara Dira. Masing-masing cuba makan sepantas yang mungkin untuk meminta disuap soto lagi oleh ibu Aina. Aina yang menyedari itu adalah gilirannya cuba menguasai ibunya sepertimana yang dilakukan Dira terhadap mamanya ketika makan petang tadi. Aina cuba mendapatkan perhatian lebih dari ibunya. Namun ibu Aina juga bijak seperti mama Dira. Menyuap secara bergilir agar kelihatan adil.

Dira dan Aina adalah dua orang kanak-kanak yang dibesarkan dengan persekitaran yang berbeza. Dira dibesarkan dengan penuh perhatian serta kasih sayang. Bukan hanya daripada kedua ibu bapanya malahan daripada mereka yang berada di sekelilingnya. Manakala Aina pula sekadar mengharapkan kasih mereka yang sudi mengasihinya. Alhamdulillah, ada ibu yang sudi menjaga dan mengasihinya. Seandainya tiada yang sudi memberi perhatian kepadanya pasti kehidupan Aina akan menjadi porak peranda. Namun masih ada suara-suara tidak puas hati kedengaran daripada papa Aina tentang cara anaknya dibesarkan. Begitulah jenis manusia yang tidak tahu bersyukur. Telah dibantu, masih ada sahaja yang kelihatan tidak sempurna di matanya dan dihatinya. Sedarlah bahawa tanggungjawab itu sepatutnya dilaksanakan oleh seorang ibu dan bapa bukan seorang ibu saudara. Dan ingatlah tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh ALLAH di hari akhirat kelak.



** Kisah ini diinspirasikan dari kisah nyata yang berlaku di dalam kehidupan. Ingatlah wahai ibu bapa bahawa anak itu adalah anugerah yang tidak ternilai dikurniakan oleh ALLAH. Sudah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk mendidik dan mencorakkan mereka. Tanggungjawab ini akan dipersoalkan di hari pengadilan kelak. Amanah ALLAH tidak boleh dipandang remeh kerana DIA Berkuasa menarik semula anugerah ini jika DIA Merasakan manusia tidak mampu menjaga amanahnya dengan baik. Di kala itu tiada gunanya meratap tangis seandainya ALLAH Menarik semula amanahnya. ALLAH Maha Berkuasa dan tiada yang mampu menghalang jika DIA Berkehendak akan sesuatu.


Sekian. Renung-renungkanlah..







0 Kata-Kata Hikmat: