Wednesday, July 4, 2012

Cintai Rasulullah S.A W.



credit : CahayaIslam.net

Di dalam sirah Ibnu Hisham diceritakan satu kisah sahabat bernama Saad bin Rabe'yang terlalu kasihkan Rasulullah S.A.W dan Rasulullah pun kasih kepadanya. Kisah yang menarik ini dirakamkan selepas berlakunya perang Uhud yang tentera Islam tewas disebabkan tidak mentaati perintah Rasulullah.

Sebaik saja peperangan berakhir, ramai di kalangan sahabat yang gugur syahid. Tetapi Nabi S.A.W yang dahinya masih luka berdarah serta patah gigi tetap terkenangkan seorang sahabat yang baginda kasihi dan sayangi iaitu Saad bin Rabe'.

Di kalangan pasukan perang yang masih hidup itu, Nabi S.A.W tidak melihat kelibat Saad bin Rabe'. Tergerak di hati Nabi untuk mengetahui keadaan Saad bin Rabe', sama ada Saad masih hidup ataupun turut terkorban bersama syuhada yang lain.

Nabi S.A.W minta jika ada di kalangan sahabat sedia berkhidmat bagi pihak Rasulullah S.A.W, untuk berusaha mencari Saad bin Rabe' bagi mengesahkan kedudukannya yang sebenar, sama ada hidup atau gugur syahid.

Lalu bangun seorang sahabat dari kalangan Ansar menawarkan diri untuk melaksanakan kehendak Nabi S.A.W bagi mencari Saad.

Setelah mencari di segenap penjuru medan Uhud akhirnya Saad bin Rabe' ditemui dalam keadaan luka parah. Beliau dikekelilingi oleh jenazah para sahabat yang lain. Tetapi keadaan Saad di antara hidup dan mati, malah boleh dikatakan kematian sudah begitu hampir dengannya.

Sahabat Ansar bertanya kepada Saad: "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W memerintahkan aku supaya mencari engkau, untuk mengetahui tentang dirimu. Bagaimana keadaan kamu wahai Saad?" Jawab Saad dalam nada lemah: "Sesungguhnya aku berada dalam kalangan orang yang mati. Oleh itu kembalilah engkau bertemu Nabi katakan kepada baginda bahawa aku berkirim salam."

Berkata Saad seterusnya dengan nada yang tersekat-sekat: "Bahawa aku berserah diri kepada Allah S.W.T untuk membalas jasa Nabi S.A.W, kerana aku tidak dapat membalas jasa baginda yang telah mempimpin dan mengasuhku, hingga aku menjadi seorang mukmin dan menjadi pengikut Nabi S.A.W yang setia."

Kata Saad lagi: "Jika engkau kembali ke Madinah, aku juga berkirim salam dengan sahabat-sahabat kita di Madinah. Katakan kepada mereka, bahawa Saad bin Rabe' menyampaikan pesanan kepada anda sekalian. Bahawa jika anda masih hidup sedangkan kamu tidak mempertahankan Nabi sehingga Rasulullah S.A.W dibunuh oleh musuh, maka kamu tidak akan ada alasan atau jawapan ketika ditanya oleh Allah Taala di akhirat kelak."

Saad berpesan kepada sahabat-sahabat yang masih hidup supaya menjaga keselamatan Nabi S.A.W., kerana dirinya sudah sangat hampir dengan ajal dan tidak berdaya untuk menjaga Nabi lagi. Amaran Saad kepada mereka jika nadi masih berdenyut, sedangkan mereka tidak melindungi Nabi dari bahaya sehingga terkorban di tangan musuh. Nescaya ia menjadi satu kesalahan besar, mereka tidak ada sebarang alasan atau jawapan apabila ditanya oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.

Sahabat Ansar terharu mendengar kata-kata terakhir Saad bin Rabe', dia terpaku seketika sehingga Saad menghembuskan nafasnya yang akhir. Setelah itu sahabat Ansar beredar dan kembali semula menemui Nabi S.A.W, beliau menyampaikan salam dan pesanan Saad bin Rabe' kepada Nabi sejurus sebelum ajalnya tiba.

Begitulah hebatnya sahabat-sahabat Nabi untuk mencintai dan menyayangi Rasulullah, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

“Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa’i)



Bagaimana Cara Untuk Kita Mencintai Rasulullah S.A.W.

Seorang ulama besar al-Imam al-Qhadi ‘Iyadh al-Yahsubi telah menyenaraikan dalam kitabnya, Al-Syifa’ bi al-Ta’rif Huquq al-Mustafa, tentang tanda-tanda, bukti atau dalil bagi orang-orang yang mencintai Rasulullah S.A.W. Penzahiran cinta kasih, rindu dan sayang kepada baginda akan terserlah dalam diri individu Muslim itu berdasarkan tanda-tanda berikut:

1. Mengenal Nabi & Mengikuti Sunnah dan Cara Hidupnya
Mengenal Nabi adalah dengan banyak membaca sirah perjalanan hidupnya yang tersurat dan tersirat. Kita pelajari bagaimana hidup Nabi dan kita akan temui kehidupan yang cukup luar biasa untuk dicontohi. Mengikuti deen (agama dan cara hidup) Rasulullah S.A.W, mengamalkan sunah baginda, mematuhi perkataan dan perbuatannya dalam segala keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Sentiasa mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah dalam segala keadaan, sama ada ketika susah ataupun senang, sewaktu sedih ataupun gembira.

Allah S.W.T. menegaskan hal ini dalam firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah pasti akan mengasihi kamu. Dan ingatlah, Allah maha pengampun lagi maha mengasihani. (Ali-Imran: 31)

Malah, orang yang benar-benar mengasihi Nabi S.A.W. akan mendahulukan dan mengutamakan syariat baginda daripada dorongan kehendak dan nafsunya sendiri. Situasi ini telah dibuktikan dengan pengorbanan yang cukup besar oleh orang-orang Ansar terhadap saudara seagama mereka iaitu orang-orang Muhajirin. Allah merakamkan peristiwa ini dalam firman-Nya: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat memerlukan.” (Al-Hasyr: 9)

2. Berselawat ke atas Nabi
Mereka yang mencintai Nabi S.A.W. akan sentiasa melazimkan diri mengingati dan menyebut selawat ke atas baginda. Selawat kepada Rasulullah S.A.W. merupakan ungkapan kerinduan serta luahan rasa cinta kasih seorang umat kepada baginda. Islam memberi ganjaran yang lumayan kepada orang yang banyak mengucapkan selawat ke atas Rasulullah kerana baginda menjanjikan 10 kali ganda balasan rahmat daripada Allah kepada mereka yang berselawat ke atas baginda. Firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya." (Al-Ahzab: 56)

Memperbanyakkan selawat ke atas baginda adalah perkara sunat yang menjadi bukti betapa kasihnya seorang umat kepada Rasulnya. Tatkala kita mendengar nama baginda, maka sunat bagi kita menyebutkan selawat ke atas Rasulullah. Baginda sendiri menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa sesiapa yang berselawat ke atas baginda sekali, maka akan diganjarkan kepada mereka yang berselawat itu dengan 10 ganjaran.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi S.A.W. lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah, bilakah akan berlaku hari kiamat?” Jawab baginda, “Apakah yang telah engkau sediakan untuk menghadapi hari kiamat?” Jawab lelaki itu, “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan sembahyang, berpuasa (puasa sunat) atau bersedekah, tetapi aku amat kasih akan Allah dan Rasul-Nya.” Maka sabda baginda, “Engkau akan bersama dengan yang engkau kasihi.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

3. Menghindari Perkara yang Nabi Benci
Antara tanda orang yang mencintai baginda ialah membenci apa yang dibenci oleh Rasul-Nya, memusuhi orang yang memusuhinya, menentang mereka yang menyalahi sunahnya dan melakukan perkara bid’ah dalam agamanya serta memandang berat terhadap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.

Allah s.w.t. menjelaskan dalam firman-Nya: "Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka atau kaum keluarga mereka sendiri." (Al-Mujadalah: 22)

'Mereka’ yang dimaksudkan dalam tafsiran ayat di atas ialah sahabat-sahabat baginda yang telah membunuh orang yang mereka kasihi (bapa, bapa saudara, saudara kandung dan ahli keluarga) dalam peperangan fi sabilillah kerana keingkaran yang jelas terhadap Islam serta penentangan mereka yang keras terhadap dakwah Rasulullah. Para sahabat Rasulullah melakukan semua ini semata-mata kasih kepada baginda dan mengharapkan keredaan Allah.

Ibnu Abbas menyatakan, antara sahabat baginda yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah Abu Ubaidah yang telah membunuh bapanya dan Mus’ab ibnu ‘Umair yang telah membunuh saudaranya dalam peperangan Uhud. Saidina Ali dan sahabat-sahabat yang lain sanggup membunuh ahli keluarga mereka, manakala Saidina Umar sanggup membunuh bapa saudaranya Al-‘As ibnu Hisyam dalam peperangan Badar. Kesemua mereka yang terbunuh ini adalah kaum keluarga para sahabat yang mengingkari perintah Allah serta melancarkan perang terhadap Rasulullah dan umat Islam.


4. Mengamalkan al-Quran
Mengasihi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah dan dengannya manusia mendapat petunjuk. Baginda sendiri mengikuti petunjuk al-Quran sehingga isteri baginda Aisyah R.A. mengungkapkan bahawa ‘akhlak baginda adalah al-Quran’. Tanda kita kasih terhadap al-Quran ialah dengan membacanya, beramal dengannya, memahami tafsiran dan tuntutannya, menjunjung suruhannya serta meninggalkan larangannya.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan apa juga perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua larangan daripada kamu melakukannya maka patuhilah larangannya." (al-Hasyr: 7)

Adalah menjadi kewajipan terhadap umat baginda yang kasih dan sayang terhadap baginda untuk sama-sama memelihara akidah, mendaulatkan dakwah, menghidupkan syariat dan sunah baginda secara syumul. Syariat dan sunah Rasulullah perlu diterima secara mutlak dan perlu dilaksanakan sewajarnya tanpa sebarang alasan dangkal atau sebab-sebab yang tidak sepatutnya (yang hanya berpandukan logik akal semata-mata). Jika semua ini dapat kita laksanakan sambil mengharapkan keredaan Allah, ini bermakna kita telah memiliki tanda-tanda orang yang kasih dan cinta kepada baginda.

Sesungguhnya telah jelas kepada kita bahawa Rasulullah adalah insan yang paling layak dan wajib dikasihi dengan sebenar-benarnya di sisi syarak.

5. Menyampaikan dari Nabi kepada Orang Lain
Kita menyampaikan apa yang disampaikan oleh Nabi pada orang lain. Ia disebut sebagai berpesan-pesan sesama muslim.

6. Mendampingi Penggantinya
Mendampingi alim ulama dan para Daie (para pendakwah).

7. Mendoakan Baginda serta Keluarga dan Sahabat Baginda
Mendoakan Nabi, ahli keluarga dan sahabatnya. Berdoa supaya kita direzkikan mencintai Allah dan Rasulnya.


Sumber artikel : Khalifah105 Blogspot & Blog Ustaz Amin


Semoga dengan membaca artikel ini dapat menyemarakkan perasaan kasih dan cinta kita kepada Rasulullah S.A.W. Orang yang mencintai Nabi adalah orang yang layak mendapat syafaat dari baginda.

Semoga Allah memberi kepada kita anugerah mencintai Nabi. Kerana sesungguhnya, tidak semua orang mendapat anugerah ini...








0 Kata-Kata Hikmat: